Blogger Widgets

Saturday, February 23, 2013

KBSR DAN KSSR



            Pembangunan kurikulum merupakan satu proses yang dinamik dan berterusan. Kurikulum sekolah rendah mula diperkenalkan pada tahun 1983 dengan menggunakan nama Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Pada tahun 1993, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan. KBSR disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

            Semua sekolah  rendah di Malaysia akan menggunakan satu kurikulum baru yang dikenali  sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini akan dijalankan secara berperingkat di seluruh Malaysia bagi murid Tahun  Satu 2011.  Ia selaras dengan perkembangan dan permintaan semasa yang menuntut modal insan yang lebih  berkualiti sejajar dengan  zaman yang serba maju dan mampu bersaing di peringkat global. Proses pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks.

            Guru-guru yang telah  dilatih untuk melaksanakan KSSR dan ianya diharapkan dapat meningkatkan penguasaan murid-murid  sekolah rendah khususnya dalam Bahasa Melayu dan  Bahasa Inggeris. Kurikulum berbentuk modular itu akan memberi peluang kepada semua pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Ia juga memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang boleh menyerlahkan potensi mereka.  Kurikulum itu akan menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran. Sebagai usaha membentuk pelajar seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baharu akan menjadikan sukan sebagai subjek mata pelajaran.


DEFINISI

Kurikulum

            Menurut Ornstein dan Hunkin (1988), kurikulum merupakan satu rancangan tindakan atau satu dokumen bertulis yang mengandungi strategi untuk mencapai matlamat yang dihajati. Manakala menurut Mohd Daud (1995), kurikulum ialah satu budaya atau ilmu pengetahuan untuk memandu guru mengajar kumpulan murid tertentu. Kamus Dewan edisi keempat pula mentakrifkan kurikulum sebagai skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah atau senarai kesemua mata pelajaran di sekolah.

Standard

            Standard pula ditakrifkan oleh Kamus Dewan edisi keempat sebagai sesuatu yang dapat diterima (diiktiraf) dan dijadikan dasar untuk mengukur sesuatu yang lain.

Transformasi Kurikulum

            Dalam konteks transformasi kurikulum, transformasi membawa maksud proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik berdasarkan kurikulum persekolahan sedia ada dengan mengambil kira keperluan-keperluan perubahan kepada aspek asas kurikulum: struktur kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan kurikulum dan pengurusan sekolah

KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH RENDAH  (KBSR)

Matlamat KBSR

Matlamat pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang,harmonis dan berakhlak mulia.

Objektif KBSR

Bagi mencapai matlamat tersebut, pendidikan di peringkat rendah bertujuan untuk membolehkan murid:

1.  Menguasai bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai Bahasa     Kebangsaan  dan bahasa rasmi negara;
2.  Menguasai kemahiran asas berbahasa iaitu bertutur, membaca dan  menulis dalam   bahasa pengantar sekolah;
3. Menguasai asas yang kukuh dalam kemahiran mengira dan menggunakannya dalam menyelesaikan masalah harian;
4.   Menguasai kemahiran belajar;
5.   Menguasai kemahiran berfikir;
6.  Bertutur, membaca, menulis dan memahami bahasa Inggeris selaras dengan  kedudukannya sebagai bahasa kedua;
7.   Memperolehi ilmu pengetahuan dan berusaha menambahnya;
8.   Membina daya kepimpinan dan daya keyakinan diri;
9.   Mempunyai pengetahuan, kefahaman, minat serta kepekaan terhadap manusia dan alam sekitar;
10. Menguasai kemahiran sainstifik dan teknikal;
11. Memahami, meminati, menikmati dan menyertai aktiviti-aktiviti amal, kesenian  dan rekreasi dalam  lingkungan kebudayaan nasional;
12. Menjaga kesihatan dan kecergasan diri;
13. Menguasai kemahiran serta membina minat dan sikap yang positif terhadap keusahawanan dan produktiviti;
14. Menguasai kemahiran membaca, menghafaz dan memahami pengertian ayat-ayat   tertentu dalam Al-Quran bagi murid Islam;
15. Menyakini asas-asas keimanan, mengerjakan amal ibadat dan mengamalkan akhlak mulia;
16. Membina semangat patriotisme;
17. Mengembangkan bakat dan kreativiti; dan.
18. Mengamalkan sikap dan perlakuan yang berpandukan nilai murni yang menjadikannya asas bagi amalan hidup

Penekanan Dalam KBSR

            Penekanan utama ialah Kemahiran Asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Aspek yang terkandung dalam kemahiran asas ialah 3M ialah kemahiran pertuturan, pendengaran, pembacaan, penulisan serta amalan dalam penggunaan empat operasi matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Penyerapan nilai-nilai murni dilakukan secara menyeluruh melalui semua mata pelajaran. Bagi mata pelajaran Agama Islam, pengajaran nilai-nilai murni dijalankan secara khusus. Penekanan Dan Tumpuan KBSR  ialah seperti kemahiran asas 3M (Meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan  menulis), kemahiran berfikir, nilai merentas kurikulum, bahasa merentas kurikulum, Patriotisme merentas kurikulum,  strategi P&P yang berpusatkan murid, penilaian berterusan serta pemulihan dan pengayaan.

Konsep Bersepadu

            Unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Ianya merangkumi aspek teori dan amali serta nilai murni bagi melahirkan insan yang seimbang. Pembelajaran di bilik darjah diperkukuhkan melalui kokurikulum.

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

            Dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kepada murid, seseorang guru seharusnya mewujudkan suasana persekitaran yang merangsang pembelajaran melalui kemudahan fizikal kelas iaitu dengan menyediakan ruang  untuk  pembelajaran yang selesa, sudut pembelajaran dilengkapkan dengan bahan yang interaktif, ruang pameran hasil kerja, bahan rujukan untuk penggunaan murid, bahan pembelajaran yang mencabar daya pemikiran.

            Dari segi aspek emosi sosial pula bijak dalam penggunaan bahasa yang mesra, keupayaan guru memahami muridnya dan mempelbagaikan penggunaan teknik. Selain itu guru juga haruslah mengamalkan prinsip-prinsip tertentu dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti dengan melibatkan murid secara aktif, menjalankan penilaian yang berterusan, mewujudkan peluang murid menilai kerja mereka, melatih murid meneroka pelbagai cara dalam menyelesaikan tugasan,            Memberi peluang murid mendapatkan pengalaman yang berulang kali dalam situasi yang berlainan, menyediakan suasana pembelajaran yang menggalakkan murid membuat keputusan secara rasional, memberikan penghargaan di atas usaha murid supaya dapat membantu dan membina sifat berani, yakin dan dayajuang, melatih murid menguasai kemahiran belajar dalam kemahiran berfikir serta mengambil tindakan segera terhadap masalah pembelajaran murid. Guru juga harus menjalankan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran yang baik bagi menghasilkan   pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna, berkesan dan menyeronokkan guru  hendaklah menggunakan kaedah yang  melibatkan murid secara aktif.

            Guru boleh mengelolakan secara kelas, kumpulan, berpasangan atau pun individu. Pembentukan kumpulan berdasarkan kepada             kebolehan   murid yang hampir-hampir sama ataupun kepada kebolehan yang  pelbagai. Pelbagai kaedah boleh dijalankan melalui aktiviti seperti ,simulasi, lakonan, permainan, tunjuk ajar, lawatan, bercerita, projek, sumbangsaran, main peranan dan pidato.
           
Penilaian

            Penilaian formatif ialah penilaian sepanjang masa.  Penilaian sumatif dijalankan di akhir sesuatu tempoh pembelajaran


KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR).

            KSSR merupakan satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.

            KSSR  mula dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, KSSR tidak menggantikan tetapi seiringan dengan KBSR.     

            KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Modul Asas Teras merangkumi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Modul Asas Tema pula terdiri daripada Dunia Sains dan Teknologi, Malaysia Negaraku serta Seni Visual dan Muzik. Modul Asas Elektif pula pilihan bahasa seperti Bahasa Tamil, Bahasa Cina atau Bahasa Arab.

            Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

PERSAMAAN KBSR DENGAN KSSR

Prinsip KBSR & KSSR

            Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR ) digubal berlandaskan prinsip-prinsip yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Antara kandungan prinsip KBSR ialah pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid, pendidikan seumur hidup. Selain itu, murid sekolah rendah lazimnya mudah memperolehi ilmu dan kemahiran melalui aktiviti kemahiran dibilik darjah berbanding dengan pengalaman hidup mereka, justeru semua aktiviti pembelajaran harus dihubungkaitkan dengan pengalaman hidup mengikut peringkat. Suasana kondusif sekolah adalah untuk memberi peluang dan galakkan interaksi sosial, bertukar pendapat dan kerjasama dalam kalangan murid sekolah rendah. Aktiviti dibilik darjah harus membolehkan murid mengembangkan pemikiran kritis dan kreatif serta melibatkan diri mereka secara aktif dalam proses menguasai kemahiran asas selain aktiviti organisasi dan pengurusan bilik darjah perlu fleksibel. KBSR juga memberi penekanan kepada nilai yang merentas kurikulum sedia ada. Penguasaan kemahiran 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira diterapkan dalam kalangan murid-murid sekolah rendah. Akhir sekali, penilaian perlu diintergrasikan dalam semua aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah untuk mengukur tahap kefahaman dan penguasaan murid-murid.

            Transformasi kurikulum persekolahan merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat penanda arasan dengan kurikulum negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan global. Melalui transformasi kurikulum, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkukuhkan serta ditambah baik dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Dengan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) dan mengekalkan prinsip KBSR, penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk,organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR. KSSR dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 bermula dengan Tahun 1 disemua sekolah rendah seluruh negara. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, KSSR tidak menggantikan tetapi seiringan dengan KBSR. KSSR mempunyai empat prinsip iaitu pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup. Prinsip KSSR adalah berasaskan prinsip KBSR. Disamping itu, KSSR menyepadukan beberapa disiplin ilmu untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran  (P & P) lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna.

KSSR merupakan satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.

 Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

            KBSR menjalankan strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berpusatkan kepada murid, seseorang guru seharusnya mewujudkan suasana persekitaran yang dapat merangsang pembelajaran. Antara strategi yang boleh diambil kira ialah faktor Kemudahan fizikal kelas. Jika dapat memujudkan ruang pembelajaran yang selesa serta sudut pembelajaran dilengkapkan dengan bahan yang interaktif, dapatlah murid-murid menjadi bersemangat untuk belajar didalam bilik darjah. Ruang pameran hasil kerja murid-murid seperti bahan pembentangan dan nota-nota ringkas yang diberikan guru bolehlah disediakan di dalam bilik darjah untuk dijadikan bahan rujukan untuk penggunaan murid. Bahan-bahan rujukan tersebut mestilah bahan pembelajaran yang mencabar daya pemikiran murid-murid. Aspek sosioemosi mestilah diterapkan oleh guru kepada murid-murid seperti penggunaan bahasa yang mesra, keupayaan guru memahami muridnya serta penggunaan teknik yang pelbagai dapat menjadi perangsang kepada murid-murid untuk teus belajar. Selain itu, guru hendaklah mengamalkan prinsip-prinsip tertentu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah guru hendaklah melibatkan murid secara aktif dalam P&P di dalam kelas selain menjalankan penilaian yang berterusan serta mewujudkan peluang murid menilai kerja mereka. Guru juga hendaklah membimbing serta melatih murid meneroka pelbagai cara dalam menyelesaikan tugasan dan juga memberi peluang kepada murid mendapatkan pengalaman yang berulang kali dalam situasi yang berlainan. Menyediakan suasana pembelajaran yang menggalakkan murid membuat keputusan secara rasional juga merupakan prinsip-prinsip P&P yang mesti guru laksanakan dalam KBSR. Guru juga hendaklah memberikan penghargaan di atas usaha murid supaya dapat membantu dan membina sifat berani, yakin dan daya juang serta melatih murid menguasai kemahiran belajar dalam kemahiran berfikir. Guru hendaklah mengambil tindakan segera terhadap masalah pembelajaran murid agar murid terrsebut dapat membuat keputusan yang tepat untuk menyelesaikan masalah mereka.

            Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran juga antara strategi P&P dalam KBSR. Bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna, berkesan dan menyeronokkan guru hendaklah menggunakan kaedah yang melibatkan murid secara aktif. Guru boleh mengelolakan secara kelas, kumpulan, berpasangan atau pun individu. Pembentukan kumpulan berdasarkan kepada kebolehan murid yang hampir-hampir sama ataupun kepada kebolehan yang pelbagai. Pelbagai kaedah boleh dijalankan melalui aktiviti berkumpulan seperti simulasi, lakonan, permainan, danprojek. Aktiviti individu seperti bercerita, sumbangsaran, main peranan dan berpidato sangat sesuai untuk melatih murid membentuk keyakinan diri dan mencungkil bakat yang ada.

            Bagi KSSR pula Strategi pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir. Ia adalah sama dengan strategi yang digunakan dalam KBSR. Selain itu, Strategi yang digunakan juga adalah pendekatan berpusatkan murid iaitu sesuatu P&P itu haruslah berpusatkan murid bagi membolehkan mereka berinteraksi dan menguasai kemahiran belajar melalui pengalaman sendiri. Di dalam KSSR juga proses pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah menggalakkan penggunaan pelbagai kaedah mengajar atau lebih dikenali sebagai kepelbagaian teknik. Pengajaran dan pembelajaran juga perlulah bertema ia adalah bagi membolehkan murid menyerap pelbagai ilmu dan disiplin lain. Bagi tujuan ini perancangan dan penentuan tema pengajaran meliputi pelbagai bidang ilmu, hal persendirian dan isu kemasyarakatan, menghargai warisan, mengcungkil daya kreativiti dan inovasi dalam diri murid serta isu-isu semasa. 

            Kurikulum standard menegaskan penggunaan pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran seperti hands-on learning, pembelajaran melalui bermain, inkuiri, penemuan, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran luar bilikdarjah, pembelajaran secara kontekstual, pembelajaran secara konstruktivisme, dan juga pembelajaran masteri. Pendekatan yang digunakan mestilah memberi peluang pembelajaran yang tidak terhad kepada murid dan juga mengambil kira kepelbagaian kecerdasan murid.

PERBEZAAN KBSR DENGAN KSSR

Kaedah Pentaksiran

            Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri, Saadun Kasim yang merupakan Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pembaharuan yang diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). SPPK bermatlamat untuk mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan. Terdapat lima kaedah pentaksiran yang dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. 

            Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar. Pentaksiran sekolah dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.

            Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid. Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah.

Kandungan KSSR

Terdapat perubahan berlaku pada semua mata pelajaran. Pendidikan seks diajar menerusi Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi tahap satu. Menurut Datu Dr Julaihi Bujang, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, pengetahuan mengenai pendidikan seks hanya mewakili 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan.

Enam tunjang yang menjadi teras pengisian pendidikan seks mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya. Enam tunjang ini akan dilaksanankan secara berperingkat bermula Tahun satu sehingga Tahun enam.

Menurut beliau lagi, perkembangan manusia mendedahkan murid mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia, perhubungan pula menjurus mengenai kasih sayang dan persahabatan. Murid turut didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sebagai ibu bapa, manakal kebolehan dalam membuat keputusan menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

Kesihatan dan tingkah laku seksual membicarakan amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV, AIDS. Isu berkaitan seks dan perundangan pula dibincang di dalam tunjang masyarakat dan budaya.
Selain daripada itu, mata pelajaran Matematik turut mengalami perubahan. Jika pada peringkat KBSR konsep 3M (membaca, menulis, mengira) ditekankan, namun pada pelaksanaan KSSR, konsep 4M ditekankan (membaca, menulis, mengira, menaakul). Penaakulan merupakan asas penting untuk memahami matematik dengan lebih berkesan dan menjadikan pengertian tentang matematik lebih bermakna. Penaakulan berupaya mengembangkan kapasiti pemikiran logikal dan dan kapasiti pemikiran kritis. Sebagai contoh, untuk topik Pecahan Tahun satu, murid diajar tentang konsep keseluruhan bagi memastikan mereka memahami tentang konsep separuh dan suku. (Berita Harian, 30 jan 2011)

 KESIMPULAN

            Kehendak-kehendak kurikulum sekolah perlu dilaksanakan di semua sekolah. Jawatankuasa kurikulum sekolah adalah sebuah jawatankuasa professional yang penting bagi melaksanakan pencapaian matlamat kurikulum di sekolah supaya selaras dengan falsafah dan matlamat pendidikan negara iaitu melahirkan insan yang seimbang dan kehendak-kehendak kurikulum kebangsaan tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya dan menyeluruh kerana terdapat beberapa kekangan yang masih menjadi penghalang utama kepada perlaksanaan ini. Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi mengatasi kekangan-kekangan yang timbul. harmonis dari segi intelek, rohani, jasmani, dan emosi. 

             Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mendukung cita-cita murni dan unggul dengan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan bertujuan melahirkan murid yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta menyediakan mereka untuk menghadapi arus globalisasi serta ekonomi berasaskan pengetahuan pada abad ke-21.

            Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah sangat bertepatan dan sesuai pada masanya. Kali terakhir Kurikulum Pendidikan Malaysia mengalami perubahan adalah pada tahun 2003, iaitu semakan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang telah dilaksanakan sejak 1993. Tambahan pula, jika merujuk kepada matlamat umum pelaksanaan, KSSR adalah satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.

            Kejayaan transformasi kurikulum memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pengurus kurikulum, ibu bapa seta pihak berkepentingan. Hal ini kerana, kurikulum baru ini tidak akan memberi impak yang positif jika pihak-pihak tersebut tidak bekerjasama. Kementerian Pelajaran Malaysia secara berterusan menyemak kurikulum bagi memastikan pelaksanaan kurikulum di sekolah melengkapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menghadapi cabaran semasa dan masa depan.


Thursday, February 21, 2013



Ordinan Pelajaran, 1952

Pada bulan September 1952, satu jawatankuasa Penasihat Pusat ditubuhkan bagi mengkaji Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu. Jawatankuasa ini mengesyorkan beberapa cadangan yang kemudian diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1952.
 Antara cadangannya ialah:
a.         Penubuhan 2 jenis sekolah yang menggunakan Bahasa     Inggeris dan
            Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
b.         Pelajaran selama 6 tahun dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa
            Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah.
c.         Sekolah kebangsaan yang dicadangkan oleh Barnes
            dilaksanakan.
d.         Sekolah Cina dan Tamil tidak termasuk dalam konsep sistem
             sekolah kebangsaan.
Ordinan Pelajaran 1952 tidak dapat dilaksanakan kerana berlakunya Darurat.