Blogger Widgets

Sunday, March 10, 2013

Kenegaraan


SOALAN   

JELASKAN PROSES KEDATANGAN IMIGRAN CINA DAN INDIA KE NEGERI-NEGERI TANAH MELAYU


Tugasan 1:  Soalan 5
Jelaskan proses kedatangan imigran Cina dan India ke Negeri-Negeri Melayu

PENGENALAN
Penduduk Malaysia pada hari ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Penduduk asalnya adalah orang Melayu dan beberapa kaum minoriti yang kita kenali sebagai kaum orang asli iaitu tinggal dikawasan pendalaman di Tanah Melayu. Di Sabah dan Sarawak pula,penduduk  asalnya terdiri daripada pelbagai kaum seperti kaum Kadazan, Murut, Iban, Melanau, Bajau, dan pelbagai lagi. Kedatangan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu menyebabkan penduduk di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu bangsa Cina dan India yang paling terkenal.

 Pada zaman kegemilangan Melaka, pedagang dan saudagar dari negera China dan India serta Arab datang  belayar ke Tanah Melayu  bertujuan untuk  berniaga atau dengan kata lain untuk berdagang di pelabuhan Selat Melaka, bukan untuk menetap di Tanah Melayu.Tetapi mulai pertengahan abad ke-19 Tanah Melayu bukan sahaja mengalami perubahan politik, tetapi juga perubahan sosial dan ekonomi. Perubahan politik telah membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa kepada kedatangan imigran  Cina dan India ke Tanah Melayu. Selain orang Cina dan India, terdapat satu lagi kumpulan imigran di Tanah Melayu iaitu orang Indonesia yang datang dari Kalimantan, Jawa, Sumatera, Sulawesi, Riau dan lain-lain Kepulauan Indonesia.

Kemasukan Imigran Cina dan India ke Tanah Melayu
Selepas pendudukan British di Pulau Pinang,Melaka dan Singapura pada abad ke 19,kepadatan penduduk Tanah Melayu adalah meningkat.Pada tahun 1826,penduduk Melaka dianggarkan berjumlah 25000 orang yang terdiri daripada kaum Melayu,16% imigran Cina dan 9% kaum imigran India.. Manakala di Pulau Pinang, jumlah penduduknya ialah seramai 30,000 termasuk orang Melayu dan selebihnya pula ialah kaum India yang menyumbangkan 28%  dan 27% ialah kaum Cina.Keadaan seperti ini juga sama di negeri-negeri Melayu yang lain. Ini menunjukkan betapa meningkatnya kemasukan imigran ketika zaman pendudukan British. Proses kemasukan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu di pengaruhi oleh beberapa faktor dari luar dan dalam negara mereka.  
                                         
1.      Imigran Cina
Orang Cina telah datang ke Tanah Melayu sejak abad ke 15 lagi. Pembukaan Melaka dan hubungan perdagangan di antara Melaka dengan negara China menggalakkan kedatangan orang Cina. Pada abad ke 19, penghijrahan kaum Cina telah meningkat. Ini adalah kerana dasar pemerintahan British di Pulau Pinang dan Singapura yang longgar memudahkan lagi kemasukan imigran Cina.Mereka juga datang ke Tanah Melayu kerana perkembangan perdagangan di Pulau Pinang dan Singapura. Orang Cina berhijrah ke Johor pada masa pemerintahan Temenggung Ibrahim (1825-1862) untuk membuka ladang gambir dan lada hitam.Orang Cina datang beramai-ramai adalah untuk bekerja sebagai buruh di ladang lada hitam dan dilombong bijih timah.

Menjelang tahun 1850 terdapat kawasan lombong bijih timah yang diusahakan oleh orang Cina di kawasan Ampang, Kuala Lumpur. Selain itu imigran Cina yang datang ke Tanah Melayu  terrtumpu di Lukut dan Sungai Ujung kerana terdapatnya perusahaan lombong bijih timah yang dikendalikan oleh pembesar-pembesar Melayu pada masa itu. Pada tahun1870 bilangan imigran Cina di Sungai Ujung talah meningkat kepada 10,000 orang. Abad ke-19 berlaku ketidakstabilan politik di Perak, Selangor dan Sungai Ujung. Ini menyebabkan campurtangan Inggeris didalam pentadbiran di negeri-negeri Melayu pada tahun 1874, serta menarik minat pelabur dari Eropah dan Cina melabur dalam perusahaan bijih timah di Tanah Melayu.

Di negeri Johor pula Temenggong Ibrahim telah memberi kawasan disepanjang sungai  kepada orang Cina untuk tanaman lada hitam dan gambir kepada orang Cina. 'Surat Sungai' atau surat kuasa diberikan kepada seorang ketua atau 'Kangchu' di satu-satu kawasan gambir dan lada. Pada tahun 1870-an dianggarkan penduduk Cina di Johor mencapai bilangan sehingga 100,000 orang.

 Long Jaafar, seorang pembesar negeri Perak telah menernui kawasan bijih yang luas di Larut,Taiping. Pada tahun 1840-an. Beliau telah membuka lombong di Kelian Pauh (Taiping) dan membawa buruh Cina untuk memajukan lombong di Larut. Dianggarkan terdapat 40.000. orang Cina di Larut pada tahun 1873. Begitu juga di Lukut iaitu kawasan lombong bijih yang ditadbirkan oleh Raja Jumaat bin Raja Jaafar.

Kebanyakan imigran Cina berasal dari wilayah Kwangtung dan Fukien. Kebanyakan imigran yang datang ke Tanah Melayu terdiri daripada beberapa puak mengikut dialek kedaerahan seperti daerah Arnoy, Sen-Yu, Hok-Chiu. Eng Choon dan daerah-daerah lain di wilayah Kwangtung; manakala suku-suku lain terdiri daripada penduduk daerah Canton. Tiu Chiu. Fui Chiu dan Kheng Chow.

Faktor-faktor kemasukan Imigran Cina ke Tanah Melayu
i  )  Sosiol dan ekonomi
Pertanian merupakan sumber ekonomi bagi Negara China.Apabila berlaku bencana alam seperti kemarau dan banjir dan sebagainya menyebabkan pertanian tidak dapat dijalankan.Akibatnya kebuluran dan penderitaan teruk berlaku kerana bekalan makanan tidak mencukupi.

Masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular.

Pertambahan bilangan penduduk yang tidak seimbang dengan pembukaan tanah untuk pertanian turut menyebabkan hasil pertanian tidak mencukupi. Sebagai contoh pada tahun 1751 -1851 bilangan penduduk negara China telah meningkat iaitu dari 181 juta menjadi 432 juta orang. Justeru itu kerajaan Manchu telah mengenakan cukai yang tinggi untuk perbelanjaan pentadbiran negara China. Ramai penduduknya yang terdiri daripada petani tidak dapat membayar cukai dan mereka terpaksa menjual tanah dan dianggarkan 60-90% daripada petaninya kehilangan tanah.

Menurut Ooi Jin-Bee, sumber-sumber alam di wilayah Fukien, Kwangtung dan Kwangsi adalah terhad. Ini menyebabkan peluang-peluang pekerjaan berkurangan. Keadaan ini telah memaksa ramai orang Cina untuk berhijrah ke Negeri-Negeri Melayu.                    
,                                                                                                                                                   
  ii  )  Kekacauan dan korupsi Politik Kerajaan Manchu
Pada abad ke-19, keadaan politik di bahagian selatan negara China tidak stabil. Beberapa pemberontakan anti-Manchu telah meletus terutamanya di wilayah-wilayah Kwangtung dan Kwangsi. Dinasti Manchu yang memerintah negara China telah dianggap sebagai pemerintah asing oleh orang Cina. Pemberontakan Taiping di bawah pimpinan Hung Hsiu-chuan telah  meletus di bahagian selatan negara China pada tahun 1850. Kerajaan Manchu hanya berjaya menumpaskan pemberontakan tersebut pada tahun 1864. Ketidakstabilan politik yang mengancam nyawa dan harta benda telah memaksa sebilangan besar orang Cina untuk berhijrah ke Tanah Melayu. Malahan orang Cina juga tidak puas hati dengan sistem pentadbiran Manchu yang bukan sahaja tidak cekap tetapi juga pembelot. Terdapat korupsi dan sifat tamak di kalangan pegawai-pegawainya.  

  iii  )  Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah di Tanah Melayu
Perkembangan perusahaan bijih timah mulai pertengahan abad ke-19 dan perusahaan getah pada awal abad kedua puluh di Tanah Melayu telah menarik orang Cina. Harga bijih timah yang melambung tinggi pada tahun 1898 telah mengakibatkan penghijrahan orang Cina secara beramai-ramai ke Tanah Melayu. Dalam tahun 1899-1900,kira-kira 100 000 orang Cina telah menetap di Neger-Negeri Melayu Bersekutu. Menjelang pada tahun 1901, terdapat lebih ramai orang Cina daripada orang Melayu di negeri Perak dan Selangor. Perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu telah menarik orang Cina. Pada tahun 1931, 35% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu yang terlibat dalam penanaman getah adalah orang Cina.

 iv )  Kestabilan politik di Tanah Melayu
Dasar pemerintahan British yang liberal menjadi salah satu faktor penghijrahan orang Cina Ke Tanah Melayu. Disamping itu British juga menggalakkan kedatangan orang-orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya memandangkan keperluan tenaga buruh yang murah dan banyak. Pada tahun 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah dibentuk ini merupakan juga faktor kestabilan politik. Oleh itu, telah menjadi tarikan bagi kemasukan modal Eropah dalam sektor perlombongan bijih timah dan pertanian ladang. Keadaan ini mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan menarik minat orang Cina untuk datang ke Tanah Melayu.

Cara-cara kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu
Kemasukan buruh dari China bermula sejak awal abad ke-19 secara besar-besaran. Kebanyakan mereka berasal dari wilayah selatan China seperti Kwangtung, Kwangsi dan Fukien. Kedatangan mereka ke Tanah Melayu adalah melalui beberapa cara seperti sistem tiket kredit, sistem pengambilan kakitangaan, dan sistem pengambilan rumah kongsi.

i  ) Sistem Tiket Kredit
Kemasukan imigran Cina ini kebanyakannya melalui sistem tiket kredit. Imigran Cina yang ingin datang ke Tanah Melayu akan dikumpulkan oleh Kheh-thau (Ketua) iaitu orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpulkan masyarakat tempatan Cina sebelum dibawa ke pelabuhan .Kheh-thau ini akan diberi upah bagi setiap imigran Cina yang dibawa masuk. Gelaran yang diberikan kepada imigran Cina ini ialah “Sin Khyaneh” yang diletakkan dibawah pengawalan nakhoda kapal atau agensi buruh.

 Imigran ini adalah terikat dengan satu perjanjian iaitu terpaksa bekerja satu tempoh tertentu sehingga hutang tambang mereka datang ke Tanah Melayu selesai . Setelah itu barulah mereka bebas untuk berkhidmat dengan sesiaapa sahaja yang mereka suka. Mereka ini akan dibekalkan dengan tiket yang menunjukkan pelabuhan yang hendak mereka tuju bersama kenyataan sama ada mereka bebas atau berhutang. Mereka ini akan dibawa oleh orang tengah atau pemborong buruh dengan bayaran tertentu kepada pihak majikan.

 Jawatan Pegawai Pelindung buruh dari China pada bulan Mac 1872 telah diwujudkan oleh Kerajaan British di Tanah Melayu. Jawatan ini diadakan untuk bertujuan untuk mengawasi kemasukan buruh dan imigran dari China.  Beberapa undang-undang telah dilaksanakan bagi membaiki sistem pengambilan buruh. Pada 30 Jun 1914, sistem tiket kredit ini telah digantikan dengan pengambilan kakitangan ataupun pengambilan rumah kongsi.

ii   )  Sistem Pengambilan kakitangan
Melalui sistem ini, majikan yang memerlukan buruh akan menghantar pegawainya ke China bagi mendapatkan tenaga buruh. Segala perbelanjaan seperti tambang akan dibiayai oleh majikan. Pegawai khas dilantik untuk mengiringi buruh-buruh ke tempat majikannya.

iii  )  Sistem pengambilaan rumah kongsi
Manakala sistem ini, pengambilan buruh dilakukan oleh pegawai di Negara China yang dilantik oleh sesebuah rumah kongsi. Segala perbelanjaan buruh ini dibiayai oleh pegawai ini sehingga mereka sampai di rumah kongsi. Pembawa buruh ini akan dibayar oleh tuan punya rumah kongsi dengan kadar yang telah dipersetujui diantara mereka.

Iv  )  Secara Berkumpulan ( Foochow )
Pada awal abad ke-20, penghijrahan imigran Cina ini telah berubah terutama di Sarawak. Charles Brooke melalui syarikatnya di Singapura telah menaja kemasukan buruh ke Sarawak.Buruh ini masuk ke Sarawak secara berkumpulan seperti yang dianjurkan oleh orang Foochow di Sarawak. Kumpulan pertama dibawa masuk selepas adanya persetujuan di antara Wong Nai Siong, seorang ketua Foochow di Sibu, dengan Charles Brooke untuk menjemput petani Cina menerokai Lembah Rajang. Pada tahun 1901 bulan Januari dan Mac orang Foochow telah dibawa masuk ke Sibu. Imigran ini sangat diperlukan untuk mengusahakan ladang gambir dan ladang lada hitam.

2.  Imigran India
Orang India mula datang ke Tanah Melayu sejak kurun ke 14 lagi mendahului  kaum Cina. Tetapi kedatangan mereka dalam kelompok yang kecil dan dengan bertujuaan untuk berdagang. Pedagang–pedagang India ini mengelar Tanah Melayu dengan gelaran “Suvarnabumi”atau Tanah Emas. Imigran yang datang ke Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai keturunan Tamil dari Tamil Naidu,Malayali dari Karala/Malabar, Telegu dari Andra Pradesh, Sikh dari Punjab, Tamil Chettiar dari Tamil Naidu, Gujrati dari India Utara. Kebanyakan mereka yang datang ialah daripada pelbagai golongan Chettier, golongan professional seperti doktor, askar terutamanya Gurkha, pekerja di ladang dan juga untuk membina jalan keretapi.

 Faktor-faktor kedatangan Imigran India ke Tanah Melayu
)  Keadaan ekonomi di India
Keadaan ekonomi yang tidak stabil dan sering berlaku kebuluran dan kemiskinan di India. Ini menyebabkan keadaan masyarakat di India yang rata-rata hidup dalam kemiskinan dan kebuluran. Bencana alam yang berterusan di India telah menimbulkan penderitaan yang teruk pada penduduk menyebabkan hasil pertanian yang tidak mencukupi. Sebagai contoh, Dataran Tinggi Deccan dan India Selatan mengalami bencana alam seperti kemarau yang merosakkan tanaman. Hal ini mengakibatkan  kebuluran pada pertengahan abad ke-19.

Penindasan oleh tuan tanah juga menyebabkan orang India semakin menderita. Walaupun India sebuah negara yang luas, namun bukan semua rakyatnya mempunyai tanah. Jika dibandingkan dengan petani-petani di Tanah Melayu, walaupun miskin, mereka masih mempunyai tanah sendiri untuk diusahakan. Kebanyakan petani di India terpaksa mengusahakan tanah yang dipunyai oleh tuan-tuan tanah yang mengenakan cukai yang tinggi.

 Sebagai contoh, terdapat tuan tanah yang mengenakan 80% daripada hasil tanaman sebagai bayaran sewa. Pertambahan penduduk yang tinggi menyebabkan taraf hidup orang India semakin teruk, contohnya pada tahun 1845, penduduk India berjumlah 131 juta dan meningkat kepada 390 juta pada tahun 1941.

Penindasan kasta yang teruk di India juga mendorong orang India datang ke Tanah Melayu. Mengikut Arasaratnam dalam bukunya Indians in Malaysia and Singapore, lebih 1/3 daripada jumlah orang India yang berhijrah dari India Selatan ke Tanah Melayu pada tahun 1931 adalah dari kasta-kasta rendah. Kasta tertinggi ialah Brahmin, kedua Kastranya, ketiga Vaisya dan akhir sekali Sundra.

ii  )  Peluang pekerjaan
 Faktor peluang pekerjaan yang ada di negara ini. Penghijrahan kaum India secara besar-besaran ke Tanah Melayu hanya bermula pada tahun 1840 apabila sektor tenaga kerja yang ramai diperlukan dalam bidang pertanian khususnya tanaman getah.Ini menyebabkan jumlah masyarakat India meningkat secara mendadak  di Tanah Melayu.

Apabila perkembangan ladang kopi, getah dan tebu, British telah mengalakkan kedatangan buruh India ke Tanah Melayu. Pada tahun 1900 hanya terdapat sekitar 50 000 ekar sahaja tanaman getah tetapi dalam masa 11 tahun sahaja iaitu pada tahun 1911 ladang getah telah meningkat kepada 543 000 ekar,  iaitu peningkatan lebih 10% dan pada tahun 1938 terus meningkat kepada 3 272 000 ekar. Kebanyakan orang India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu bekerja di ladang getah dan ada juga bekerja di landasan keretapi. Dianggarkan 8009 orang India bekerja di landasan keretapi.

iii )  Dasar-dasar Kerajaan British
India merupakan tanah jajahan British pada masa itu. British memberikan galakan kepada buruh-buruh India untuk bekerja di Tanah Melayu. Selain dari itu masyarakat India adalah bangsa yang berpengalaman luas dan tahan lasak dalam sektor pertanian.Ini merupakan aset terbaik untuk digunakan bagi membangunkan sektor perladangan di Tanah Melayu.
Kestabilan politik di Tanah Melayu pada 1920, menyebabkan kedatangan imigran India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan orang India di Tanah Melayu. Kejayaan orang-orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemasukan lebih ramai orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan orang India di Tanah Melayu. Kejayaan orang-orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemasukan lebih ramai orang India

Cara-cara kemasukan imigran India ke Tanah Melayu
Kemasukan masyarakat India ke negara ini melalui beberapa cara iaitu melalui, sistem kontrak,  kangani  dan Tabung Imigran India.

i  )  Sistem Kontrak
Sistem kontrak ataupun indented labour, digunakan untuk menggalakkan dan untuk menarik perhatian rakyat India untuk datang ke Tanah Melayu dan bekerja sebagai buruh disini.Sistem ini mula diperkenalkan pada tahun 1820 yang mana pada asalnya digunakan untuk megambil buruh untuk bekerja di ladang-ladang tebu dan kopi.

Apabila British memerlukan tenaga buruh yang besar untuk pembangunan sektor getah di Tanah Melayu, ejen pekerja yang kebanyakan berada di Madras dan Nagapatinam telah menggiatkan usaha untuk menambah jumlah buruh India yang hendak bekerja di Tanah Melayu. Pekerja berhijrah ke Tanah Melayu akan menandatangani satu kontrak yang mana terdapat beberapa perkara utama yang perlu dipatuhi seperti tempoh bekerja serta perkara-perkara yang difikirkan perlu ada didalam kontrak tersebut. Apabila kontrak telah dimeterai, majikan akan menguruskan pemergian mereka ke Tanah Melayu dan akan dibayar gaji.Setelah kontrak pekerja-pekerja ini tamat, mereka dibenarkan pulang ke India ataupun diberi peluang untuk terus berada di Tanah Melayu dan bekerja di sini.

ii  )   Sistem Kangani 
Sistem kangani turut digunakan untuk menarik kemasukan masyarakat India ke Tanah Melayu. Melalui sistem kangani ini, pengusaha ladang atau majikan dikehendaki menghantar seorang kangani pulang ke India untuk menarik seramai mungkin mereka yang mahu bekerja di Tanah Melayu. Setiap Kangani akan dibayar mengikut jumlah pekerja yang diperolehi. Segala perbelanjaan membawa masuk buruh ini akan ditanggung oleh kangani seperti tambang dan kos-kos lain. Kangani akan menggunakan wang diberikan oleh majikan untuk membiayai segala keperluan ini.

British menempatkan beberapa orang pegawainya di pelabuhan-pelabuhan India khususnya Madras dan Nagapatinam ini adalah bertujuan untuk memudahkan urusan kemasukan buruh India ke Tanah Melayu. Buruh-buruh ini akan menaiki kapal dan diturunkan di beberapa buah negeri kritikal seperti Pulau Pinang dan Perak, seterusnya akan diagihkan mengikut majikan masing-masing. Sistem kangani ini lebih berrjaya menarik kemasukan imigran  kerana  sistem kangani akan memujuk orang yang mereka kenali dan rapat untuk ke Tanah Melayu.Secara tidak langsung, mereka akan dapat memancing keyakinan buruh untuk bekerja dengan selesa dan serta penindasaan dapat dihapuskan.        
                                                                       
iii  )  Tabung Imigran India
Sistem Tabung Imigran India adalah sistem yang diwujudkan oleh British untuk membawa masuk buruh-buruh India bekerja di Tanah Melayu. Segala kos perjalanan adalah ditanggung oleh dana dari tabung ini. Melalui sistem ini ramai buruh India pulang ke negara mereka  iaitu 38,801 orang buruh yang datang lebih kurang 12,000 orang yang telah pulang ke India

Kesimpulan
Pertumbuhan penduduk dan wujudnya masyarakat majmuk,kemasukan orang-orang Cina dan India menyebabkan komposisi kaum berubah.Sebelum tahun 1848, di Negeri-Negeri Melayu boleh dikatakan keseluruhan penduduknya adalah orang Melayu.Dengan kemasukan orang Cina dan India, orang Melayu tidak lagi merupakan golongan majoriti, setengah-tengah negeri ,orang Cina dan India telah melebihi golongaan orang Melayu seperti yang berlaku di Selangor dan Perak pada tahun 1901. Pada tahun 191, orang Melayu merupakan 51%, orang Cina-33% dan India-11% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu. Dengan wujudlah masyarakat majmuk di Tanh Melayu.

Pembahagian penempatan,dari segi penempatan, terjadi perasingan antara kaum dengan kaum yang lain. Orang-orang Melayu tinggal di tepi pantai atau di tebing-tebing dan muara-muara sungai.Pekerjaan mereka adalah petani dan nelayan. Orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar, pelabuhan dan di kawasan perlombongan. Orang Cina menjadi golongan saudagar, pengusaha, peladang dan pelombong. Orang-orang India pula tertumpu di ladang tebu, kopi dan getah. Kebanyakan mereka ini bekerja sebagai buruh di sektor awam seperti membina jalaan raya dan keretapi termasuk kerja perkeranian di jabatan-jabatan kerajaan.

Perbezaan identiti dan kebudayaan ketiga-tiga kaum amat ketara, iaitu golongan imigran ini tetap memegang teguh dengan kebudayaan negara mereka.Masalah-masalah sosial iaitu kehadiran orang-orang Cina menyebabkan wujudnya kongsi-kongsi gelap yang menimbulkan kekacauan seperti rusuhan dan pertempuran. Berlakunya kegiatan pelacuran di kalangan orang Cina. Kegiatan perjudian banyak didapati kerana orang-orang Cina suka berjudi dan rumah-rumah perjudian banyak diusahakan oleh kongsi-kongsi gelap. Ini sering menjadi punca pergaduhan dan rusuhan. Kegiatan orang-orang Cina ini menimbulkan masalah kepada pemerintah dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini pihak pemerintah telah menubuhkan Jabatan Pelindung Orang Cina pada tahun 1877.

Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah, dengan kemasukan orang-orang Cina dan India telah dapat memenuhi keperluan perusahaan bijih timah dan getah. Orang-orang Cina telah membuka dan mengerjakan lombong-lombong bijih timah serta memperkenalkan kaedah melombong yang lebih berkesan iaitu kaedah bomba palung yang memberikan pendapatan yang lebih lumayan daripada kaedah mendulang. Orang Cina memberi sumbangan besar dalam bidang modal dalam perlombongan dan perusahaan getah.Orang–orang India telah membantu mengembangkan perusahaan getah dengan membekalkan tenaga buruh yang murah. Orang-orang India ini telah membolehkan pembukaan ladang getah yang banyak yang diusahakan oleh bangsa Eropah.

Dari segi pembinaan infrastruktur, kemasukan orang-orang India telah menyumbang tenaga bagi pembinaan jalan raya dan keretapi. Jalan-jalan raya dan keretapi dibina bagi menghubungkan kawasaan pertanian, ladang-ladang getah dan lombong-lombong bijih timah dengan pelabuhan dan menyebabkan bahan-bahan mentah dieksport ke luar negara dengan segera.

Pertumbuhan bandar-bandar lebih pesat, dengan kemasukan imigran ini menyebabkan berlakunya aktiviti perdagangan, pertanian, perladangan dan perlombongan dan hasil daripada kegiatan tersebut muncul bandar-bandar. Kegiatan perlombongan bijih timah menyebabkan lahirnya Bandar Taiping, Kemunting dan Ipoh. Muncul juga bandar-bandar kecil dan pekan-pekan yang sebahagian besar diduduki orang Cina yang menjalani perniagaan dan orang India yang merupakan golongan pekerja.

Bibliografi
Ee Ah Meng., Pendidikan Di Malaysia, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. K.L 1988
International Law Book Services., Malaysia Kita, Golden Book Centre K.L 2000
Maswari Rosdi., Sejarah Malaysia, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. K.L 1990
Modul HNS2013 Kenegaraan., UPSI 2011
Ranjit Singh Malhi., Sejarah, Federal Publications K.L 1994
Zanaswordpress.com/pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysiayangberdaulat/kedatangan-migran-cinaketanah-melayu
http;//oppapers.com/essays/kemasukanimigran/270719
http;//www.diniahfaldhiah.blogspot.com
http;//www.docstor.com/docs/22464503/bincangperananpembesar-diTanahMelayu-sebelum-campurtangan
http;//www.slideshare.net/myongdae88/masyarakatkaummalaysia


No comments:

Post a Comment