SEMANGAT PERPADUAN
Perpaduan ialah satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat
dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota
masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan
kebangsaan bersama di kalangan mereka.Perpaduan memainkan peranan penting dalam
memacu kestabilan dan kemajuan negara. Sejak merdeka lagi, kerajaan telah
memupuk semangat perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah
dijalankan untuk mencapai proses perpaduan ini. Tanpa perpaduan, kemajuan
negara yang ingin dicapai untuk Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi
kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan.
Dalam membentuk perpaduan
kaum, kerajaan perlu menjalankan dasar perpaduan supaya rakyat Malaysia
menjadikan dasar ini sebagai pegangan mereka dalam mencapai perpaduan kaum yang
harmoni. Dasar perpaduan boleh dicapai melalui dua cara iaitu:
a) Integrasi: Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu
identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi
kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.
b) Asimilasi :Manakala asimilasi pula ialah satu proses bagaimana
kumpulan-kumpulan minoriti diasimilasikan melalui perkahwinan campur dan
sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar.
DASAR-DASAR KERAJAAN DALAM
MEMBENTUK PERPADUAN
1) DASAR PENDIDIKAN – FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
2) AKTA BAHASA KEBANGSAAN- Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu.
3) DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
4) SUKAN ALAT PERPADUAN
DASAR PENDIDIKAN: PENENTU
PERPADUAN KAUM.
Dasar pendidikan kerajaan
yang mentadbir penting dalam membentuk perpaduan kaum di negara kita. Bermula
dengan Laporan Barnes ketika zaman penjajahan British dahulu sehinggalah ke
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dijalankan kini. Berikut telah saya
sediakan kronologi dasar-dasar pendidikan kerajaan sejak dahulu:
1) Pada peringkat
permulaan, kerajaan British telah memperkenalkan Laporan Barnes pada 1950
sebelum negara ini ingin mencapai kemerdekaan. Tujuannya ialah supaya Tanah
Melayu boleh berkerajaan sendiri dengan perpaduan kaum yang berlaku. Tambahan
pula, tentangan kuat komunis pada masa itu menyebabkan British khuatir
kaum-kaum di negara ini akan terpengaruh dengan komunis sekali gus menyebabkan
huru-hara. Laporan Barnes mencadangkan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa
pengantar pada peringkat sekolah rendah serta bahasa Inggeris pada peringkat
sekolah menengah & peringkat yang lebih tinggi. Cadangan ini diharapkan
dapat merapatkan jurang komunikasi antara kaum serta merapatkan hubungan
mereka.
2) Masyarakat Cina
menentang cadangan ini kerana dikatakan menggugat bahasa ibunda mereka.
Masyarakat Cina mencadangkan Laporan Fenn-Wu supaya sekolah vernakular Cina
dikekalkan walaupun mereka bersetuju dengan sistem pendidikan kebangsaan.
3) Ordinan Pelajaran 1952
kemudiannya diperkenalkan dengan mengambil kira kedua-dua laporan di atas.
Walau bagaimanapun, ordinan ini tak dapat dijalankan kerana tentangan
masyarakat Cina & India, kekurangan kewangan & ancaman komunis.
4) Selepas itu, kerajaan
yang dipelopori penduduk Tanah Melayu, Parti Perikatan telah memperkenalkan
Penyata Razak 1956 dengan mengemukakan sistem persekolahan yang sama &
penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan. Penyata ini bertujuan
menyuburkan semangat perpaduan kaum.
5) Kemudian, Laporan Rahman
Talib diperkenalkan yang menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan & ia menjadi Akta Pelajaran 1961. Jawatankuasa Kabinet telah
mengkaji keberkesanan sistem pendidikan serta mempertingkatkan kualitinya
dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) & Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
6) Jika kita lihat pada sistem pendidikan kini, kerajaan telah
melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pelengkap kepada Dasar
Pendidikan Kebangsaan. Dasar ini penting dalam memupuk perpaduan kaum &
integrasi nasional.dasar
pendidikan yang kerajaan jalankan menitikberatkan dasar dalam membentuk
perpaduan. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini & kajian sejarah yang
diperoleh,
DASAR PENDIDIKAN MEMBENTUK PERPADUAN KAUM.
BAGAIMANA PENDIDIKAN BOLEH
MEMBENTUK PERPADUAN
Persoalan besar yang
dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas Perang dunia Kedua ialah mencari
formula untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu, yakni
masyarakat majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk
hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian
dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia.
Satu cara yang penting
untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan.
Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam
membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari. Berikut merupakan cara
bagaimana sistem pendidikan boleh membentuk perpaduan:
i) Sistem persekolahan yang sama bagi semua
Pada asasnya Laporan Razak
mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantarnya dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa
pengantar Cina, Tamil dan Inggeris. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa
untuk perpaduan jelas dinyatakan. Laporan ini telah menjadi rujukan sebagai
dasar pendidikan kerajaan sehingga kini & bahasa Melayu telah menjadi
bahasa pengantar di semua peringkat sekolah.
ii) Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Cara paling penting untuk
menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan
bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di
antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa
curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum
di negara ini.
iii) Kurikulum yang sama
Kurikulum ialah satu
rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta
kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang
telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya.
Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar
yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara
Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung
cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di
samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara (modal
insan).
iv) Sukatan pelajaran yang
seragam
Sukatan pelajaran yang sama
isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai
salah satu asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara.Mata
pelajaran Sejarah memainkan peranan penting ke arah matlamat pembangunan.
Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan
perasaan hormat menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum,
agama dan adat resam. Sukatan pelajaran yang seragam membolehkan pandangan
dunia (world view) setiap kaum di Malaysia hampir sama & tidak mewujudkan
perselisihan dalam persefahaman.
v) Peperiksaan yang seragam
Rancangan kerajaan untuk
menyeragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan
mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan
pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar tidaklah
terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini boleh menolong proses
menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang
sama.Jika kita lihat sekarang, dasar pendidikan yang dijalankan
kerajaan kini menampakkan hasilnya. Oleh itu, ditekankan bahawa pendidikan
menjadi alat membentuk perpaduan kaum. Belajar & kajilah sejarah untuk
mendapatkan manfaat berguna & meningkatkan kualiti hidup kita. Kita sepatutnya
mencontohi Dr. Mahathir Mohamad yang rajin membaca dan mengkaji bahan sejarah
serta berjaya menaikkan nama Malaysia di persada dunia dengan kekuatan
pembacaannya.
AKTA BAHASA KEBANGSAAN-
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Akta ini diluluskan pada
tahun 1967. Akta ini memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
seperti yang termaktub dalam perlembagaan & menjadi jaminan kepada
perpaduan rakyat Malaysia. Pada tahun 1982, bahasa Melayu menjadi bahasa
pengantar di sekolah dan menjadi bahasa yang digunakan di mahkamah pada 1990. Akta
ini mewujudkan penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara
satu kaum dengan yang lain tanpa menimbulkan rasa curiga.
DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
Dasar ini menjadi panduan pembentukan & pengekalan identiti
rakyat Malaysia.Objektif dasar ini dijalankan adalah untuk mengukuhkan
perpaduan melalui kebudayaan. Sebagai contoh, kerajaan telah menjalankan
perarakan Citrawarna Malaysia pada tahun 2001 yang menyaksikan persembahan
pelbagai budaya kaum masing-masing. Selain itu, tujuannya juga ialah memelihara
keperibadian kebangsaan & meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.
SUKAN ALAT PERPADUAN
Dasar ini bertujuan untuk
menyemarakkan semangat patriotik rakyat. Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) yang
ditubuhkan pada peringkat sekolah & Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) adalah
contoh dasar ini. Ia mengeratkan perpaduan kaum & hubungan antara negeri.Jika
kita lihat sekarang ini, Sukan Olimpik Beijing yang berlangsung telah
menyemarakkan semangat patriotik rakyat negara kita. Pelbagai kaum bersatu padu
memberi sokongan & dorongan untuk membolehkan Malaysia mendapat pingat. Terbaru
ini, Lee Chong Wei telah mara ke suku akhir & menjadi harapan rakyat untuk
mendapatkan pingat emas pertama Malaysia.
TARGET NEGARA MAJU 2020
Idea wawasan ini digagaskan oleh Perdana Menteri kita yang ke-4,
Datuk Seri Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991. Idea ini dicelup daripada
sejarah kemajuan Jepun iaitu ketika zaman pemerintahan Mikado Meiji, beliau
telah menetapkan dalam masa 30 tahun pemerintahannya, Jepun menjadi negara maju
setanding dengan negara maju lain.
Kita lihat bagaimana
seorang pemimpin kita seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kuat membaca &
mengkaji sejarah telah mengaplikasikannya dalam memajukan negara kita. Beliau
mempunyai pandangan yang jauh & bijak mentadbir negara. Beliau menetapkan
tahun 2020 negara Malaysia akan menjadi negara industri yang maju di dunia.
Target:
Menjadikan Malaysia sebagai
negara industri maju dengan menggunakan acuan tersendiri setanding
negara-negara maju dunia. Kemajuan yang diharapkan bukan seperti di
negara-negara maju di Barat yang menitikberatkan kemajuan fizikal tetapi
menekankan kemajuan bersepadu. Kemajuan bersepadu yang dimaksudkan ialah
perpaduan rakyat, kestabilan politik, ketinggian taraf hidup, kekukuhan nilai
moral & etika, kekukuhan sistem kerajaan, ketinggian maruah bangsa serta
semangat keyakinan bangsa.Sebagai rakyat jelata, kita perlulah mencapai target
Wawasan 2020 ini dalam menjadikan Malaysia sebagai negara industri maju
setanding dengan negara-negara maju lain di dunia.Oleh itu, Tun Dr. Mahathir
Mohamad pada zaman pemerintahannya telah menetapkan 9 cabaran yang perlu
ditempuhi negara dalam mencapai status negara maju.
Dengan mengetahui
kelemahan-kelemahan yang perlu kita atasi, mudahlah bagi kita membuat
‘checklist’ bagi cabaran yang diatasi untuk merealisasikan Wawasan 2020.
1. Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu
2. Membina bangsa yang berjiwa bebas, tenteram & berkeyakinan.
3. Memupuk & membina masyarakat demokratik yang matang.
4. Mewujudkan masyarakat yang bermoral & beretika.
5. Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal & bertoleransi.
6. Membina masyarakat yang maju & saintifik.
7. Masyarakat yang berbudaya penyayang.
8. Menjamin masyarakat yang adil & saksama ekonominya.
9. Memupuk & membina masyarakat makmur.
Bagi mencapai status negara
maju, perpaduan menjadi tunjangya & dingatkan bahawa PERPADUAN TERAS
KEJAYAAN negara.
KEJAYAAN MALAYSIA DALAM
MEMBENTUK PERPADUAN PADA MATA DUNIA
Datuk Seri Abdullah Badawi
berkata, Malaysia kini dijadikan contoh kajian oleh Universiti Cambridge atas
kejayaannya mewujudkan perpaduan pelbagai kaum.
Menurut Abdullah, mereka
mengambil Malaysia sebagai satu-satunya contoh bagi mengkaji tentang hubungan
baik di antara pelbagai kaum dan yang menganut agama yang berbeza.
``Kajian itu adalah tentang
apa yang berlaku di Malaysia dan boleh dipelajari,'' katanya kepada pemberita
pada 15 Disember 2007.