Blogger Widgets

Wednesday, November 28, 2012

Kempen Anti Merokok



Ramai yang tidak melepaskan peluang untuk cuba berhenti merokok setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan. Begitu juga dengan badan-badan yang giat menjalankan kempen anti-merokok sepanjang bulan itu. Peluang untuk berjaya dianggap lebih tinggi kerana ibadah berpuasa sama sekali telah menjauhkan seseorang itu daripada merokok di siang hari. Jika mereka boleh menahan gian untuk merokok di siang hari, tidak salah jikalau ibadah ini diteruskan pada waktu malam juga. Tetapi adakah kempen anti-merokok yang sedia ada memadai untuk membolehkan seseorang itu berhenti tabiat merokok?
Tabiat adalah sesuatu perkara yang sukar dibuang. Ia memerlukan lebih daripada kempen untuk membolehkan seseorang itu membuang tabiat merokok mereka. Berpuasa memberi seseorang itu semangat apabila mereka disekelilingnya turut berpuasa. Begitu juga dengan merokok, jika kawan-kawan disekeliling kita sama-sama tidak merokok, kecenderungan untuk merokok dapat dikurangkan. Ini tidak bermakna seseorang itu tidak boleh berhenti merokok jika kawan mereka sendiri merokok.Selain sokongan dari kawan-kawan dan keluarga, seseorang itu harus mempunyai azam yang kuat untuk berhenti merokok.
Kempen "Tak Nak" telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Februari 2009. Kempen itu memberi tumpuan terhadap faktor yang mempunyai kaitan dengan tingkah laku perokok. Kempen ini berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya merokok.Aktiviti yang dilaksanakan oleh Kementerian:
•    Quitline sedia ada di Pusat Racun Negara USM (04-6572924), 
•    Pelancaran hotline (03-88894876) bagi perokok mendapat nasihat untuk menghentikan   tabiat buruk mereka itu.
•    Jumlah Klinik Berhenti Merokok kerajaan pula telah ditambah daripada 167 pada 2009 kepada lebih 200 pada tahun 2010.
•    280 kakitangan Kementerian telah dilatih bagi membuat penilaian, memberi kaunseling dan merawat perokok yang ingin meninggalkan tabiat itu.
  Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling
Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal

Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak
      
   







No comments:

Post a Comment